Bolehkah pembeli mahupun penjual hartanah menguruskan transaksi hartanah tanpa bantuan dan khidmat dari peguam hartanah?
Masih ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak tahu tentang peranan peguam hartanah dan beranggapan tugas peguam dalam urusan jual beli hartanah ini adalah mudah.
Hanya menyediakan perjanjian, kemudian berbincang dengan pihak-pihak yang terlibat.
Sebenarnya persepsi tersebut adalah salah. Skop kerja peguam hartanah adalah sangat rumit dan pembeli mahupun penjual hartanah akan mengalami kesukaran mengendalikan transaksi ini tanpa bantuan dan rujukan daripada pakar.
Justeru, memilih peguam hartanah yang betul juga adalah penting kerana kesilapan memilih peguam akan memberi tekanan dan kesan kepada transaksi jual beli rumah!
Siapakah Peguam Hartanah?
Terma peguam hartanah ini merujuk kepada peguam yang fokus dan berperanan mengendalikan urusan transaksi jual beli hartanah sebagai pemudah cara bagi satu-satu urusan transaksi jual beli hartanah.
Antara peranan peguam hartanah dalam menguruskan transaksi tersebut adalah memberikan nasihat perundangan, merangka Perjanjian Jual Beli, menguruskan proses pelepasan gadaian, menguruskan proses pindah milik dan lain-lain kerja yang bersangkutan dengan urusan jual beli sesuatu hartanah.
Keutamaan peguam hartanah dalam menjalankan tugasnya adalah bagi memastikan kepentingan dan hak pelanggan dilindungi serta transaksi jual beli hartanah berjalan dengan lancar secepat mungkin.
Tips Memilih Peguam
- Pilih Firma Guaman Yang Fokus Menguruskan Jual Beli Hartanah
Firma guaman yang hanya fokus mengendalikan transaksi jual beli hartanah sebagai bidang utama firma tersebut adalah lebih cekap dalam menguruskan satu-satu transaksi.
Sebolehnya, elakkan melantik peguam yang mengendalikan terlalu banyak kes terutama dari cabang perundangan yang berbeza seperti kes jenayah, litigasi dan lain-lain.
Dikhuatiri mereka tidak sempat memberi tumpuan atau memberikan khidmat yang terbaik untuk kes anda.
- Dapatkan Cadangan Dari Peguam Hartanah
Ejen hartanah adalah antara individu yang paling kerap berurusan dengan peguam hartanah.
Kareer mereka bergantung kepada kecekapan peguam hartanah memudahkan urusan jual beli rumah, justeru, mereka lebih kenal peguam mana yang memberikan khidmat yang terbaik dalam memudahkan urusan klien, komited dalam setiap urusan dan sentiasa mengemas kini status kerja.
- Pilih Peguam Yang Berdekatan
Adalah lebih baik untuk memilih peguam yang berdekatan dengan rumah yang dibeli kerana mereka mungkin lebih mahir dengan selok-belok jual beli rumah tersebut.
Mereka pasti sudah biasa berurusan dengan pemaju dan sudah mengenal pasti pejabat tanah yang perlu berurusan untuk urusan hal jual beli rumah di kawasan tersebut.
- Gunakan Khidmat Guaman Yang Sah
Pastikan peguam yang ingin dilantik adalah firma yang guaman yang sah dan dibawah penyeliaan Majlis Peguam Malaysia.
Ini dapat mengelakkan anda dari berurusan dengan peguam yang mana sijil amalan mereka dah dibatalkan dan menimbulkan masalah kelak.
Cara mudah untuk menyemak status firma guaman tersebut adalah dengan hanya melayari web direktori The Malaysian Bar dan pastikan firma tersebut berada dalam senarai.
- Elakkan Melantik Terlalu Ramai Peguam Yang Berbeza
Sesuatu transaksi hartanah boleh melibatkan antara 1 hingga 3 peguam yang menguruskan di mana pembeli melantik peguam yang berbeza untuk menguruskan jual beli rumah dan untuk menguruskan pinjaman bank.
Penjual pula mempunyai peguam mereka sendiri. Terlalu ramai peguam yang menguruskan transaksi tersebut mungkin akan menjadi cabaran dari segi komunikasi kerana setiap komunikasi haruslah melalui surat rasmi bertulis yang akan melambatkan proses.
Adalah lebih baik untuk pembeli melantik peguam yang sama untuk menguruskan perjanjian jual beli dan perjanjian pinjaman.
- Melantik Peguam Bank Sebagai Peguam Hartanah
Seperti yang ditekankan dalam tips di atas, adalah lebih baik untuk pembeli melantik peguam yang sama untuk menguruskan Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Pinjaman.
Pembeli rumah haruslah memastikan peguam tersebut adalah panel dengan bank yang anda buat pinjaman.
Peguam hartanah tersebut akan menyiapkan Perjanjian jual beli dan Perjanjian Pinjaman dengan pihak bank.
Selain memudahkan urusan komunikasi, proses bank juga akan menjadi lebih cepat dengan melantik peguam panel.
Bukan sahaja itu, malah untuk menjadi peguam panel bank, boleh dikatakan firma guaman tersebut amat menjaga reputasi.
Ini kerana, firma guaman tersebut haruslah memastikan mereka mempunyai insurans yang tinggi untuk memastikan jika mereka disaman oleh pihak tertentu, mereka mampu untuk membayar tuntutan.
Angka tersebut bukanlah sedikit untuk dibayar apatah lagi untuk firma guaman yang kecil.
Pihak bank juga akan membuat CTOS Check dan background check untuk semua peguam dan pemilik firma guaman tersebut.
Mereka akan memastikan tiada kes saman, blacklist, bankrup atau mahkamah terhadap mana-mana peguam atau pemilik.
Mereka juga dikehendaki meletakkan sejumlah deposit dengan bank tersebut untuk menjadi peguam panel berdaftar bank.
Pendek kata, menggunakan peguam panel bank sebagai peguam yang sama untuk menguruskan Perjanjian Jual Beli hartanah adalah yang terbaik untuk memastikan segala proses berjalan dengan lancar.
- Elakkan Melantik Peguam Kerana Murah
Dalam memilih peguam hartanah untuk mewakili anda, sudah pasti anda akan membandingkan harga dan ingin mendapatkan servis yang termurah di pasaran.
Tetapi, pemilihan seperti ini mungkin akan menjerat anda di kemudian hari.
Sebenarnya, yuran guaman urusan hartanah kebanyakannya adalah sama antara satu peguam dengan peguam yang lain.
Yang membezakan kos guaman adalah kos pentadbiran sesebuah firma tersebut.
Kebiasaannya, peguam hartanah yang murah adalah firma guaman yang kecil dan kos operasinya yang rendah kerana tidak mempunyai ramai pekerja.
Jadi, jika berlaku masalah seperti pekerja mereka berhenti, cuti sakit atau cuti bersalin, proses kes anda akan terbantut kerana tiada pekerja yang akan mengambil alih tugas tersebut dengan serta-merta.
Natijahnya, kes tergendala dan proses jual beli rumah anda tidak dapat disempurnakan.
Realitinya, peguam yang terbaik memerlukan anda membayar kos yang lebih tinggi.
Sebaiknya, pilihlah peguam yang komited dan anda yakin betul-betul mampu menjaga hak dan kepentingan anda.
Semoga perkongsian kali ni memberi manfaat untuk yang berhasrat membeli atau menjual rumah.
Sila hubungi saya untuk dapatkan khidmat peguam hartanah anda:
- Nama: Mohamad Suhairi (REN 26837)
- CCI Property
- H/P: 010-3622016 (Call/Sms/Whatsapp)
- Email: suhairi.alias@gmail.com
- Perunding Hartanah Berdaftar/ Developer Team Marketing
- #JualRumah #BeliRumah #RumahMurah #AgentHartanah #Ejen #Hartanah